comscore
Tumpuan :
Jenayah

Suami isteri ditahan miliki pil kuda dan ganja bernilai RM25,110

Rampasan pil kuda serta Erimin 5 dalam dua kawasan di Kampung Bunut Susu dan di Jalan Bukit Tuku, di sini.

PASIR MAS: Sepasang suami isteri ditahan pihak polis selepas disyaki memiliki 2,280 biji pil kuda dan ganja seberat 3.9 gram dengan nilai keseluruhan RM25,110 dalam kejadian di Kampung Bunut Susu, di sini, jam 6.30 petang, Khamis lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun, berkata ketika kejadian suspek yang berusia 27 dan 26 tahun itu, didapati keluar daripada kereta Perodua Kelisa sebelum anggota bertugas menahan mereka.

Katanya, anggota kemudian memeriksa bungkusan plastik hijau yang diletakkan di atas tanah berdekatan pasangan berkenaan sebelum menemui sejumlah 2,000 biji pil kuda terbabit.

“Manakala, selebihnya ditemui disorok di dalam bra (baju dalam) suspek wanita ketika anggota menjalankan pemeriksaan ke atas tubuh badanya.

“Sebaik pemeriksaan dijalankan kepada suspek lelaki, dadah jenis ganja pula ditemui di dalam poket seluar miliknya. Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis Methamphetamine.

“Pasangan berkenaan kemudian ditahan untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi tindakan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontijen Kelantan bertempat di Dewan Ketua Polis Negara, Ibu Pejabat Daerah Pasir Mas, di sini, hari ini.

Menurutnya, pasangan berkenaan ditahan reman selama tujuh hari bermula 26 sehingga 1 Februari untuk siasatan lanjut.

Turut ditahan dua lelaki termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU) yang disyaki memiliki dadah jenis pil kuda dan Erimin 5 bernilai RM22,305 dalam kejadian di Jalan Bukit Tuku, di sini, jam 6.40 petang semalam.

“Mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 5 Februari untuk tindakan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 39B ADB 1952,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Zaki berkata, Polis Kelantan berjaya menumpaskan 297 kes narkotik membabitkan 328 tangkapan melalui Ops Tapis Bersepadu yang dijalankan selama lima hari bermula 24 sehingga 28 Januari.

Tambahnya, hasil operasi itu, pihaknya membuat rampasan dadah bernilai lebih RM376,000 yang mana jika diedarkan boleh digunakan oleh seramai 105,545 penagih.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini