comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Suami isteri ditahan dipercayai dera dua adik beradik


CHUKAI: Polis menahan sepasang suami isteri yang dipercayai terlibat dalam kes penderaan ke atas dua kanak-kanak di Kampung Jabur Kubur, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata pasangan suami isteri berusia 26 dan 30 tahun itu ditahan kira-kira jam 8 malam ini.

Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kedua-dua mangsa berusia enam dan tujuh tahun itu yang merupakan adik beradik dipukul di kawasan kediaman mereka, kira-kira jam 5 petang.

“Bertindak atas laporan itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati ada kesan kecederaan baru dan lama di keseluruhan badan kedua-dua mangsa.

“Kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Hanyan berkata, polis kemudiannya menahan pasangan suami isteri terbabit dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk siasatan lanjut.

“Suspek perempuan yang merupakan ibu kandung kepada kedua-dua beradik itu tidak bekerja manakala suspek lelaki yang merupakan bapa tiri mangsa bekerja sebagai buruh.

“Kedua-dua beradik itu kini masih menerima rawatan di hospital Kemaman dan kedua-kedua mangsa akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapat perintah tahanan reman dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini