Tumpuan :
Jenayah

Suami Isteri Dalang Pecah Rumah

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superitendan Mohd Zahir Abdullah (tiga dari kanan) menunjukkan resit membeli emas surat pajak bersama barang rompakan suspek yang ditangkap di Kampung Jebak, Pasir Puteh, Khamis lalu.

MACHANG : Polis menahan sepasang suami isteri disyaki aktif melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar daerah Machang, dalam serbuan di Kampung Jebak, Jeram, Pasir Puteh.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, DSP Mohd Zahir Abdullah, berkata dalam serbuan jam 5.45 petang Khamis lepas, pelbagai barangan termasuk barangan kemas,telefon bimbit,jam tangan,wang tunai dan sebuah kereta yang bernilai hampir RM100,000 dirampas.

Katanya, Hasil siasatan polis ke atas suspek mengakui telah melakukan jenayah pecah rumah terbabit.

“Sasaran mereka adalah rumah terpencil, yang jauh daripada orang dan suspek akan pecah masuk waktu malam,”

“Ketika masuk, pemilik rumah berada di rumah dan semua enam kes yang kita selesaikan, suspek pecah masuk ketika penghuni rumah sedang tidur.” katanya.

“Ketika sepasukan polis dari Cawangan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang menangkap suspek, turut dijumpai beberapa barang seperti 11 telefon bimbit pelbagai jenama, 14 beg galas, kad pengenalan, tiga jam tangan, tujuh resit membeli emas surat pajak, tiga gelang tangan emas; dua rantai leher emas; dua subang emas; dan masing-masing seutas cincin emas serta kerongsang emas.”

Kesemua barang kes yang dirampas di rumah suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian pecah rumah yang dilaporkan sebelum ini.

Pihak Polis juga merampas sebuah kereta yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah berkenaan.

Mengulas lanjut, DSP Mohd Zahir berkata, pasangan terbabit direman selama seminggu sehingga 11 Ogos bagi membantu siasatan dan hasil ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek lelaki mendapati positif dadah Methamphetamine.

Polis masih menjalankan siasatan mengenai penglibatan suspek dengan kejadian pecah rumah di daerah lain dan pengakuan awal mendapati pasangan berkenaan melakukan jenayah secara bersendiri tanpa membabitkan pihak luar.

Semakan rekod lampau juga mendapati suspek lelaki memiliki sembilan rekod lampau bermula dari tahun 2011 hingga 2021 atas kesalahan jenayah berkaitan dadah.

Kedua-dua suspek yang tidak bekerja disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini