Tumpuan :
Jenayah

Suami isteri antara empat ditahan kes dadah

Suspek ditahan bersama dadah jenis syabu di kawasan tepi jalan Tawau-Kalabakan, kira-kira jam 3 pagi, kelmarin. – FOTO: Ihsan PDRM

TAWAU: Polis menahan empat individu termasuk pasangan suami isteri dan merampas 503.70 gram dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai hampir RM17,000 di kawasan tepi jalan Tawau-Kalabakan kawasan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suami isteri warga tempatan berumur 35 dan 29 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, jam 10.15 malam.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu satu serbuan dijalankan kira-kira jam 3 pagi, di kawasan tepi jalan Kalabakan-Tawau dan menahan dua lelaki warga Indonesia berumur 28 dan 42 tahun kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

“Hasil pemeriksaan keatas suspek warga asing yang bekerja sebagai buruh ladang itu menemui satu bungkusan plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 503.70 gram yang dianggarkan bernilai RM16,622.10.

“Turut dirampas sebuah telefon bimbit jenama Vivo dan sebuah kereta Perodua Bezza yang digunakan oleh suspek,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Jasmin berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati dua lelaki warga asing terbabit didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine manakala lelaki warga tempatan pula pernah disabitkan dengan kesalahan dibawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, pada tahun 2012.

“Semua suspek bersama barangan rampasan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini