Tumpuan :
Jenayah

Suami isteri antara 4 ditahan kes pecah rumah

Ahmad Mohsein (kanan) bersama pegawai penyiasatnya menunjukkan suspek kumpulan pecah rumah termasuk pasangan suami isteri yang ditahan semasa sidang media di IPD Arau. – FOTO: NSTP

ARAU: Sepasang suami isteri antara empat orang ditahan polis selepas disyaki terbabit dengan 13 kejadian pecah rumah sekitar Arau dan Kangar, membabitkan kerugian lebih RM30,000 sejak tahun lalu.

Suspek berusia antara 23 hingga 28 tahun termasuk dalang kumpulan berkenaan dipercayai turut terbabit melarikan enam kipas siling selepas memecah masuk Dewan Orang Ramai di Kampung Alor Ara Barat di sini, akhir tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsein Md Rodi, berkata semua suspek ditahan pada 8 Februari lalu.

“Sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Arau menahan sepasang suami isteri berusia 23 dan 26 tahun di IPD Arau pada jam 1.30 tengah hari 8 Februari lalu, awalnya kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

“Siasatan membawa kepada penahanan dua lagi lelaki berusia 23 dan 28 tahun di sekitar daerah ini, dipercayai rakan pasangan berkenaan.

“Dalam serbuan berkenaan, kita turut merampas pelbagai barangan digunakan untuk memecah masuk rumah dan barangan yang dilarikan seperti dua tong gas, dua pam air, enam kipas siling.

“Turut dirampas sebuah kereta Toyota Vios, mesin rumput, sebilah pisau, set spana, baju dan seluar, topi dengan penutup muka serta kunci kereta,” katanya kepada pemberita di IPD Arau, hari ini.

Katanya, kumpulan berkenaan dipercayai didalangi suami pasangan yang ditahan dan seorang rakan suspek berusia 28 tahun.

“Mereka bergerak berkumpulan menggunakan kereta Toyota Vios milik suspek wanita yang dipandu suaminya ke lokasi sasaran.

“Mereka menyasarkan kediaman tidak berpenghuni secara rambang di beberapa taman perumahan dan kampung sekitar Arau dan Kangar untuk dipecah masuk.

“Dalangnya berperanan mengumpil sebelum memecah masuk ke dalam rumah mangsa manakala suspek wanita dan seorang lagi suspek meneliti keadaan di sekeliling rumah supaya tidak bertembung pemilik rumah atau polis,” katanya.

Beliau berkata, saringan air kencing mendapati suspek utama positif syabu.

“Kerugian semua dianggar berjumlah RM33,100 manakala suspek direman sehingga hari ini sebelum diserahkan kepada IPD Kangar untuk siasatan selanjutnya.

“Semua suspek lelaki mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau membabitkan pecah rumah dan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457, 506 dan 448 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan pecah rumah, ugutan jenayah dan ceroboh rumah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini