Tumpuan :
Jenayah

Suami Ejen Kosmetik Direman Tiga Hari Lagi

KOTA BHARU: Reman terhadap suami ejen jualan kosmetik yang dilarikan sekumpulan lelaki pada petang Selasa lalu disambung tiga hari bermula hari ini.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata permohonan sambung reman terhadap lelaki berusia 36 tahun itu bersama dua lagi tangkapan termasuk seorang wanita membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

“Sebelum ini semua suspek ditahan pada Rabu lalu selama empat hari berakhir hari ini dan reman disambung lagi tiga hari berkuat kuasa hari ini sehingga 20 September.

Setakat ini tiada tangkapan baharu dibuat dan kesemua mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, perselisihan di antara ahli sindiket dadah dipercayai punca utama seorang wanita yang juga ejen jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim, 36, dilarikan sekumpulan lelaki daripada kediamannya di Kampung Semat Jal, petang Selasa lalu.

Siasatan awal polis mendapati, suami kepada mangsa terbabit dalam aktiviti penyeludupan dadah dan dikatakan mangsa dilarikan ke negara jiran.

Khamis lalu, polis Thailand membuat serbuan di sebuah rumah di pinggir Sungai Golok dipercayai tempat persembunyian suspek namun tiada mana-mana individu dalam rumah berkenaan. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini