Tumpuan :
Jenayah

Stor penyimpanan alat mainan seks diserbu

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Nik Yusaimi Yussof menunjukkan barang rampasan alat permainan seks ketika sidang media di Kompleks KDN, Setia Tropika, Johor. – Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Tren penjualan alat mainan seks dilihat semakin membimbangkan, terutama selepas Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK) Kementerian Dalam Negeri (KDN) membongkar stor yang menyimpan alatan itu, 29 Januari lalu.

Setiausaha Bahagian PK KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, dalam serbuan di Masai itu, pihaknya turut mendapati alat mainan seks dijual secara terbuka di premis jualan barangan kosmetik, kesihatan dan cenderamata selain dalam talian.

Katanya, tiga wanita dan seorang lelaki dipercayai pemilik perniagaan berusia lingkungan 30-an ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, antara 18 Januari lalu hingga 6 Februari lalu, pihaknya berjaya merampas 2,295 unit alat mainan seks dengan nilai anggaran RM70,000, hasil empat operasi di Johor, Sarawak, Pulau Pinang dan Perak.

“Johor mencatatkan rampasan terbanyak setakat ini dengan 2,012 unit bernilai RM37,350 dan ia juga kes terbesar kerana membabitkan stor simpanan.

“Pada 18 Januari lalu, kita membuat serbuan di sebuah kedai jualan di dalam pusat beli-belah di Kuching, Sarawak dan merampas 135 unit alat mainan seks dengan anggaran nilai RM10,890.50.

“Pada 6 Februari, dua serbuan dibuat di kedai jualan dalam pusat beli-belah di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Ipoh, Perak, masing-masing merekodkan rampasan 102 unit (RM15,372) dan 46 unit (RM6,050),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Bahagian PK di Kompleks KDN, Setia Tropika di sini, hari ini.

Nik Yusaimi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan.

Katanya, pihaknya akan terus mempergiatkan penguatkuasaan terhadap pengedaran dan penjualan alat mainan seks di seluruh negara, memandangkan alatan sebegitu boleh diperoleh dengan harga serendah RM50 hingga RM300.

“Alat mainan seks ini diimport dari luar negara disyaki China bagi memenuhi permintaan pasaran, sedangkan penjualannya adalah dilarang di negara ini kerana berlawanan dengan nilai dan budaya masyarakat kita.

Untuk rekod, sepanjang 2023, Bahagian PK, KDN merampas pelbagai jenis alat mainan seks yang keseluruhannya bernilai RM1.3 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini