
MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) membongkar tujuh premis yang dipercayai menjadi stor penyimpanan steroid anabolik dan produk tidak berdaftar yang dianggarkan bernilai RM8.3 juta, semalam.
Kesemua steroid dan produk itu dirampas dalam Ops Pharma yang dijalankan beberapa jabatan termasuk Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Melaka dengan kerjasama Ibu Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan CPF Negeri Sembilan serta Johor di sekitar Bandar Melaka.
Pengarah JKNM Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, operasi selama lapan jam bermula 2 petang itu dilakukan di tujuh premis termasuk rumah kedai dan kediaman yang dipercayai menjadi lokasi penyimpanan bahan terlarang itu.
“Hasil serbuan itu, sebanyak 642 produk dan lima peranti digital yang dianggarkan bernilai RM8.3 juta dirampas yang menjadikan ia rampasan terbesar di Melaka setakat ini.
“Operasi ini diadakan bagi mengambil tindakan ke atas penjualan produk yang mengandungi steroid anabolik dan produk tidak berdaftar yang dijual secara dalam talian.
“Steroid termasuk dalam kategori racun terkawal dan perlu diambil atas nasihat doktor serta ahli farmasi, namun kerap disalah guna untuk membina otot badan.,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Turut dihadiri Pengarah Penguat kuasa Farmasi (Kementerian Kesihatan Malaysia) KKM, Mohd Zawawi Abdullah dan Timbalan Pengarah Cawangan Perisikan dan Operasi Bahagian Penguat kuasa Farmasi KKM Mohd Azaruddin Azis.
Dr Rusdi berkata, dua lelaki termasuk warga asing berusia 20 dan 40 tahun ditahan kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti penjualan produk tidak berdaftar itu.
“Sebelum ini, mereka berdua pernah ditahan malah turut dihadapkan ke mahkamah serta dijatuhi hukuman dan semalam sekali lagi mereka ini ditahan.
“Siasatan mendapati aktiviti ini sudah beroperasi kira-kira dua tahun lalu dan kesemua produk ini diimport dari luar negara sebelum dijual secara dalam talian di negara ini.
“Kita tidak menolak kemungkinan Melaka mungkin menjadi tempat penyimpanan berdasarkan kuantiti yang dirampas dalam serbuan itu,” katanya.
Beliau berkata bagi penjualan produk tidak berdaftar siasatan dijalankan mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 manakala kesalahan memiliki racun berjadual untuk tujuan jualan tanpa lesen boleh didakwa mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2).