comscore
Tumpuan :
Jenayah

SPRM tumpas sindiket scam ubah suai meter elektrik

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melumpuhkan sindiket scammer yang mengugut orang ramai dengan meminta wang rasuah kononnya bagi melindungi aktiviti pengubahsuaian meter elektrik di kediaman sekitar Lembah Klang.

Lima ahli sindiket terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 30-an ditahan di sekitar Kuala Lumpur semalam.

Menurut sumber, modus operandi sindiket adalah menghubungi dan menjalankan pemeriksaan di premis pelanggan dan mengatakan bahawa mangsa telah mengubah suai meter elektrik tanpa kebenaran.

“Mangsa diugut akan dikenakan tindakan saman dengan nilai puluhan ribu ringgit jika enggan membayar rasuah bagi melindungi kesalahan ini.

“Jumlah wang rasuah dianggarkan bernilai antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap premis yang diperiksa bergantung sama ada premis kediaman atau perniagaan,” katanya.

Sumber berkata, dalang sindiket berusia 30-an dan dua ahli kumpulan lain adalah kontraktor syarikat pembekal tenaga elektrik bagi menjalankan kerja-kerja memotong bekalan elektrik.

Manakala dua orang lain merupakan individu yang terlibat mendapatkan maklumat mengenai mangsa yang dikenal pasti sindiket.

Hasil soal siasat turut mendapati sindiket telah mengaut ratusan ribu ringgit melibatkan ribuan mangsa di seluruh negara.

Susulan penahanan itu, Majistret Nadiah Abd Razak membenarkan empat suspek lelaki direman selama enam hari sehingga Selasa depan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini pagi tadi.

Suspek wanita pula dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009,” katanya.

Beliau tidak menolak lebih ramai lagi anggota sindiket akan ditangkap dan dipercayai sindiket terbabit telah beroperasi lebih setahun.

Orang ramai yang menjadi mangsa sindiket diminta untuk melaporkan kes dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, R Kumaran di talian 03–88911657.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini