comscore
Tumpuan :
Jenayah

SPRM tahan dua penguat kuasa didakwa minta rasuah

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur telah menahan tiga individu termasuk dua anggota penguat kuasa kerana disyaki meminta rasuah berjumlah kira-kira RM1,500 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pemandu kenderaan yang menggunakan dan memiliki lesen perdagangan kenderaan motor (trade plate).

Sumber berkata, ketiga-tiga suspek lelaki berusia antara 36 hingga 37 tahun dipercayai ditahan semalam di pejabat SPRM Kuala Lumpur antara kira-kira jam 5 petang hingga 7 malam.

“Dua anggota penguat kuasa tersebut yang menaiki motosikal dipercayai telah menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu menggunakan nombor ‘trade plate’ syarikat kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

“Anggota penguat kuasa tersebut kemudian memberitahu kepada pemandu kenderaan itu bahawa nombor ‘trade plate’ yang digunakan adalah palsu,” katanya.

Menurut sumber, salah seorang anggota penguat kuasa tersebut telah meminta wang kira-kira RM1,500 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu kenderaan terbabit.

Susulan penahanan tersebut, ketiga-tiga suspek termasuk seorang lelaki yang bertindak sebagai ‘runner’ telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi tadi bagi tujuan permohanan reman. Majistret Puan Illi Marisqa Binti Khalizan telah membenarkan permohanan reman selama 6 hari bermula hari ini sehingga 17 Oktober 2023.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini