comscore
Tumpuan :
Jenayah

SPRM tahan bekas pegawai kanan jabatan kerajaan, disyaki terima rasuah RM50,000

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua individu termasuk seorang bekas pegawai kanan sebuah jabatan kerajaan disyaki menerima rasuah kira-kira RM50,000 sebagai balasan membantu mendapatkan projek dari jabatan terbabit.

Perintah reman selama enam hari sehingga 28 Oktober ini dikeluarkan oleh Majistret Noor Fazlin Hamdan terhadap kedua-dua suspek selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki yang berusia lingkungan 20-an hingga 50-an ditahan jam 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Johor.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu dari tahun 2021 hingga 2024.

“Salah seorang suspek iaitu bekas pegawai kanan disyaki menerima kira-kira RM50,000 tunai secara berperingkat daripada suspek kedua iaitu pengarah sebuah syarikat sebagai balasan mendapatkan tiga projek untuk syarikat tersebut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini