Tumpuan :
Jenayah

SPRM sita 8 kenderaan mewah daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita lapan (8) kenderaan mewah dianggarkan bernilai hampir RM6 juta milik individu yang dipercayai terbabit sindiket penyeludupan tembakau, arak dan rokok.

Menurut sumber, kenderaan-kenderaan berkenaan terdiri daripada dua Lamborghini, (1) Lexus, (1) Mercedes, (1) BMW, (1) Volvo dan (2) Toyota yang disita dalam operasi khas sekitar Lembah Klang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, sejak Isnin lalu dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kenderaan-kenderaan ini disita daripada beberapa individu yang berjawatan sebagai pemilik syarikat serta orang tengah yang membuat bayaran wang sogokan kepada pegawai-pegawai di sebuah agensi penguat kuasa,” katanya.

Selain itu, sindiket ini juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen.

Kegiatan penyeludupan sindiket ini dipercayai telah menyebabkan ketirisan hasil cukai yang dianggarkan lebih RM400 juta dan telah memberi wang rasuah lebih RM8 juta kepada beberapa individu termasuk penjawat awam bagi melancarkan kegiatan penyeludupan.

Sindiket ini dipercayai telah menggunakan modus operandi dengan menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan sitaan terhadap lapan kenderaan mewah berkenaan dan individu-individu yang ditahan telah disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini