Tumpuan :
Jenayah

SPRM Sabah tumpaskan sindiket penyamaran pegawai kanan kerajaan

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket penyamaran sebagai pegawai kanan SPRM dan pegawai kanan Menteri Dalam Negeri.

Sumber berkata kegiatan sindiket itu dipercayai telah menipu mangsa dengan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.

Sindiket itu dipercayai menggunakan modus operandi kononnya bagi membantu menyelesaikan kes yang disiasat oleh agensi penguat kuasa.

Menurut sumber itu lagi, tangkapan dilakukan di beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu sejak beberapa hari lalu dan hasil kerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Hasil serbuan ini, seramai tujuh individu warganegara Malaysia yang berusia di antara 20 hingga 30 tahun telah ditahan.
Proses permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan akan dibuat terhadap mereka di Mahkamah Khas Rasuah, Kota Kinabalu, Sabah esok,” kata sumber itu lagi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Beliau juga menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sindiket ini agar tampil memberikan kerjasama kepada pihak SPRM dan orang ramai tidak meminjamkan akaun bank kepada orang lain.

Pada masa sama, beliau juga mengingatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya sekiranya ada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan awam.

Loading...
Terkini