comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sorok dadah dalam bungkusan teh

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan 

SEPANG: Sembunyikan dadah berbahaya dalam bungkusan teh dengan tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

Namun, taktik berani itu berjaya dikesan Cawangan Pemeriksaan Penumpang 2, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah dan anggota Aviation Security Malaysia Airport (AVSEC), 16 Jun lalu.

Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kotak makanan yang didaftar masuk secara ‘Self Check In’ di kaunter sebuah syarikat penerbangan pada jam 7 petang.

“Hasil pemeriksaan rapi, pasukan menjumpai sejumlah 15 mampatan kristal putih yang disyaki dadah jenis ketamin dalam bungkusan teh yang diisi ke dalam kotak makanan berlabelkan jenama mi segera dengan anggaran berat kasar 15.181 kilogram.

“Mampatan itu dianggarkan bernilai RM760,000.

“Seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 33 tahun dipercayai keldai dadah turut ditahan.

Katanya sindiket menggunakan kaedah ‘Self Check In’ bagasi untuk mengedar dadah ke lokasi-lokasi lain bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

“Suspek telah direman dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti jumlah upah yang diterima suspek.”

Dalam kes berasingan, JKDM Zon Tengah, Unit III (LTAKL) berjaya merampas bungkusan berisi dadah jenis MDMA di dalam satu kotak bungkusan kurier bernilai RM2.5 juta di Zon Bebas Kargo, KLIA Sepang, 19 Jun lalu.

Tambahnya, bungkusan itu dipercayai dihantar dari negara Eropah ke satu alamat kepada satu syarikat tempatan.

“Pemeriksaan rapi ke atas kotak itu menemui 15 termos yang mengandungi pil-pil disyaki dadah jenis MDMA beranggaran kasar seberat 14.663 kilogram.

“Pihak kastam kini sedang mengesan sama ada syarikat berkenaan wujud atau sebaliknya, selain semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi tindakan lanjut.”

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini