Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Sorok dadah dalam bungkusan sabun cuci pakaian, edar guna kurier

 

 

KUALA LUMPUR: Bungkus dadah dalam bungkusan sabun pencuci pakaian sebelum menggunakan syarikat penghantaran logistik untuk mengedar dadah.

Modus operandi sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah itu bagaimanapun terbongkar hasil serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), 13 Julai lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamaruddin Md Din berkata,  empat serbuan dilakukan bermula jam 1.40 pagi hingga 12.30 tengah hari di Cheras, Kuala Lumpur dan Klang, Selangor.

Menurutnya, tiga lelaki berusia 32 hingga 61 tahun  dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah pasaran tempatan ditahan bersama dadah bernilai RM14.4 juta.

“Dadah yang dirampas itu terdiri daripada methamphetamin seberat 56 kilogram (kg), ketamin 20 kg dan ekstasi 154.3 kg.

“Sindiket ini aktif sejak awal tahun ini di mana bekalan dadah yang dirampas itu masih dalam siasatan namun dipercayai diseludup masuk dari negara jiran menggunakan jalan darat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK), di sini, hari ini.

Mohd Kamaruddin berkata, modus operandi sindiket menjadikan kediaman dan rumah kedai sebagai tempat menyimpan dadah sebelum dipasarkan.

“JSJN turut menyita aset sindiket bernilai RM389,166 terdiri empat kenderaan iaitu BMW, Lexus, Perodua Bezza dan Toyota Vios bersama barangan kemas dan wang tunai dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan adalah RM14.77 juta.

“Siasatan juga mendapati sindiket memasukkan dadah dalam bungkusan sabun pencuci pakaian lima kg bagi mengaburi mata kurier sebelum dihantar ke Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, saringan ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek  negatif dadah dan  seorang daripada mereka mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Suspek termasuk koordinator, pembekal dan penjaga stor direman seminggu bermula 14 Julai lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mengikut Akta Dadah Berbahaya (pelucuthakan harta) 1988.

“Operasi ini berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah bagi pasaran tempatan,” katanya.

Saki-baki sindiket ujarnya sedang diburu untuk diheret ke muka pengadilan.

“Masyarakat yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan ke hotline JSJN di talian 012-2087222,” katanya.

Loading...
Terkini