Tumpuan :
Jenayah

Sorok 4.12kg dadah belakang radio, pembesar suara kereta

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar menunjukkan ruang rahsia pada but kereta untuk menyembunyikan dadah ketika sidang media di IPK Johor, hari ini. – Foto NSTP

JOHOR BAHRU: Polis Johor berjaya membongkar taktik sindiket pengedaran dadah yang mengubah suai ruang but kereta bagi menyembunyikan bahan terlarang itu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata ruang but kenderaan itu sengaja diubah suai dengan meletakkan radio dan pembesar suara bagi mengaburi pihak berkuasa, namun di sebaliknya terdapat ruangan khas menyimpan dadah.

Serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor di empat lokasi berasingan pada 13 Februari lalu membawa kepada penahanan tiga suspek, termasuk seorang wanita.

Serbuan pertama di parkir sebuah kondominium di Bandar Dato’ Onn di sini, polis merampas sebuah kereta jenis Hyundai yang menggunakan taktik terbabit, dengan pemeriksaan menemukan 4.12 kilogram (kg) dadah di ruangan tersembunyi itu.

“Kita buat intipan sebelum menahan seorang lelaki dan wanita bersama kereta diubah suai itu sebelum menjumpai dadah berkenaan.

“Kemudian, kita menyerbu sebuah unit kediaman di kondominium terbabit yang dipercayai dijadikan kediaman mereka dan merampas lagi sejumlah dadah.

“Serbuan seterusnya dibuat di sebuah kondominium berasingan yang jaraknya lima kilometer dari lokasi pertama dan kedua yang dijadikan stor penyimpanan dadah.

“Satu lagi serbuan adalah di sebuah rumah teres di Taman Setia Indah yang jaraknya tujuh kilometer dari serbuan sebelumnya sebelum menahan seorang lelaki dengan sejumlah dadah,” katanya ketika sidang media hari ini.

Kumar berkata, semua kediaman digunakan sindiket itu disewa dan pihaknya sedang mengenal pasti penyewa premis itu.

Katanya, modus operandi sindiket dipercayai aktif sejak Januari lalu itu dan mereka menjadikan premis berpagar serta berpengawal sebagai stor penyimpanan serta pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Dalam semua serbuan itu, polis merampas 28,493 gram (g) ketamin; 10,365g syabu; 4,975g ganja; 2,590g serbuk ekstasi; 15,750 pil erimin 5; 7,281 pil ekstasi dan 780 gram serbuk MDMD yang semuanya dianggarkan bernilai lebih RM3.19 juta.

“Kita turut menyita wang tunai RM46,540 serta pelbagai jenis barang kemas,” katanya.

Tiga suspek berusia 33 hingga 46 tahun kini direman sehingga 27 Februari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini