Oleh: Juliana Sharin
KUALA LUMPUR: 4,621 hantaran di pelbagai platform dalam talian berunsur penipuan dan pemancingan maklumat disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Data yang dicerap dari Januari hingga September tahun ini itu, melibatkan 2,871 hantaran di Facebook, 254 di WhatsApp, 13 di Instagram, 11 di Telegram, satu di TikTok, dan 1,471 di laman sesawang.
Sebagai langkah proaktif dalam penguatkuasaan undang-undang mengenai bahaya ancaman siber, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, berkata Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sedang meneliti dan membuat pindaan terhadap beberapa aspek berkaitan perlindungan data peribadi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (Akta 709).
“Memang punca kuasa bagi SKMM adalah terhad, seperti siasatan kes penipuan scam adalah di bawah PDRM, tetapi SKMM main peranan penting iaitu kita boleh ambil tindakan apabila kita dapat informasi pengesahan daripada PDRM supaya kita boleh padamkan atau turunkan laman web, kandungan yang berunsur penipuan,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail di Dewan Rakyat.
Menurutnya, antara pindaan Akta 709 yang dicadangkan termasuk mewajibkan pengguna data untuk melantik Pegawai Perlindungan Data, melaporkan insiden kebocoran data kepada Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi dan meningkatkan kadar denda yang lebih tinggi kepada Pengguna Data dan Pemproses Data.
“Selain itu, cadangan peluasan pemakaian tanggungjawab secara langsung juga akan dikenakan kepada Pemproses Data jika berlaku sebarang ketirisan data. Dalam masa sama, JPDP dalam perancangan membangunkan garis panduan AI bagi mengawal serta meminimumkan kadar capaian atau gunaan AI berkaitan data peribadi,” jelasnya.