Tumpuan :
Jenayah

Sindiket Tuntut RM100,000 Syarat Bebas Mangsa Dari Malaysia

KUALA LUMPUR : Dipaksa bekerja 18 jam setiap hari, selain diugut dan dipukul.

Itu antara nasib menimpa seorang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di Laos sejak tiga bulan lalu.

Ahli keluarga mangsa, Low Teck Lin, 44, berkata, anak saudaranya berusia 24 tahun pada mulanya pergi ke Dubai untuk bekerja sebelum ke Thailand dan akhirnya dijual kepada ejen di Laos.

“Dia maklumkan dipaksa bekerja sehingga 18 jam selain dipaksa membotakkan kepala. Tidur pun enam jam sahaja, kalau mengantuk akan dipukul.

“Malah, sindiket bagi masa tiga bulan untuk capai sasaran mangsa penipuan, jika tidak dia akan dijual kepada ejen lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Pertubuhan Kemasyarakatan Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihak sindiket meminta bayaran sekitar RM70,000 hingga RM100,000 sebagai syarat untuk melepaskan mangsa.

“Ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dihantar untuk berunding tetapi rundingan itu membuka kepada yuran tebusan.

“Kebanyakan mangsa yang pergi bekerja ini adalah dalam kalangan orang miskin yang tidak mampu untuk membayar RM70,000 ke RM100,000 ini,” katanya.

Beliau menyifatkan tindakan kerajaan dalam menangani isu itu sebagai tidak memadai dan kurang efektif.

Menurutnya, tindakan lebih drastik perlu diambil pihak berkenaan dan menggesa kerajaan menggunakan hubungan diplomatik menerusi ASEAN untuk mencari penyelesaian terbaik.

“Negara-negara terbabit adalah anggota ASEAN, kalau kita boleh ada hubungan perdagangan kenapa tak boleh ada hubungan keselamatan?

“Pada MHO, apa yang dilakukan kerajaan hanya menggunakan saluran biasa tidak memadai kerana sindiket ini dilindungi pihak berkuasa negara masing,” katanya.

Justeru itu, katanya, MHO akan menghantar surat rasmi kepada Kementerian Luar dan kedutaan negara-negara terbabit dalam usaha menyelesaikan masalah itu.

“Kita akan pergi ke setiap kedutaan termasuk Laos, Myanmar, Kemboja dan kita membawa wakil NGO untuk menyatakan bantahan ini minggu hadapan.

“Selain itu, kita juga menghantar memorandum kepada Perdana Menteri untuk gunakan platform ASEAN bagi menamatkan sindiket ini,” katanya. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini