Oleh: Amirulhakim Lokman
KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah jenis heroin base antarabangsa yang disorokkan di dalam arca seni, bernilai kira-kira RM7.89 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata hasil perkongsian maklumat Biro Narkotik Hong Kong, satu serbuan dilakukan pada 5 Januari lalu di sebuah kondominium di ibu negara dan berjaya menahan tiga orang suspek.
Suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan, seorang lelaki warga Hong Kong dan seorang wanita warga Monggolia berusia 26 hingga 48 tahun.
Suspek dipercayai terlibat dengan kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah untuk pasaran Hong Kong.
“Jumlah dadah yang dirampas heroin base 7.41 kilogram (kg) di Malaysia, 3.5kg di Hong Kong, serbuk bahan kimia 74.03kg disembunyikan dalam patung atau arca seni. Turut dirampas, pelbagai peralatan untuk pembungkusan semula dadah,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, IPK Kuala Lumpur, di sini.
Tambah beliau, modus operandi sindiket berkenaan menjadikan premis kediaman sebagai tempat pembungkusan.
Semua dadah kemudian akan diseludup ke Hong Kong dengan menggunakan perkhidmatan kurier atas nama barangan seni.
Saringan awal mendapati suspek wanita Mongolia positif dadah jenis methamphetamin dan amphetamin manakala suspek lelaki tempatan mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Kesemua suspek masih diperingkat reman selama tujuh hari.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, ADB 1952.