comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket seludup warga asing: Ejen warga Myanmar dituduh esok

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Seorang warga Myanmar yang menjadi ejen sindiket membawa masuk kumpulan warga asing melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) tanpa melalui pemeriksaan yang sepatutnya, akan didakwa di Mahkamah Shah Alam, Selangor esok.

Lelaki berkenaan sebelum ini antara 12 individu termasuk lima penguat kuasa Jabatan Imigresen (JIM) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 20 Ogos lalu.

Tangkapan itu menerusi Op Pump dijalankan suruhanjaya terbabit di sekitar Lembah Klang, Kelantan dan Pulau Pinang.

Suspek lelaki tersebut berperanan sebagai ejen dengan menguruskan kemasukan kumpulan warga asing dan membayar wang rasuah kepada penguat kuasa menerusi modus operandi ‘counter setting’ atau laluan ‘kaunter khas’.

Dia telah direman selama lima hari pada 21 hingga 25 Ogos lalu.

Sindiket terbabit dipercayai telah bersekongkol dengan penguat kuasa di pintu masuk udara negara dengan membayar wang rasuah antara RM500 hingga RM2,500 kepada beberapa penguat kuasa.

Sindiket dan penguat kuasa turut menggunakan kod nama sulit seperti ‘lembu’, ‘durian’, ‘School Boy’, ‘Salak’ serta ‘Laici’ merujuk kepada pembayaran wang rasuah dan kewarganegaraan kumpulan warga asing bagi mengelakkan komunikasi mereka dikesan.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilapor berkata, SPRM berjaya membongkar kegiatan sindiket yang membawa masuk warga asing dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan serta Nepal melalui pintu masuk negara dipercayai tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini