Tumpuan :
Jenayah

Sindiket seludup diesel: SPRM lengkap siasatan dalam tempoh sebulan 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan tempoh sebulan untuk melengkapkan siasatan kes sindiket penyeludupan diesel bersubsidi di Sibu, Sarawak.

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan lebih lanjut termasuk mengenal pasti pihak berkuasa yang terlibat untuk dituduh di mahkamah.

“Kegiatan pengubahan wang haram melibatkan syarikat ini sedang disiasat yang mana hasil perolehan mereka dalam aktiviti haram seludup minyak ini sedang dikira.

“Kami akan keluarkan jumlah yang mana mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Menurut Azam, pihaknya juga akan menghubungi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memberi maklumat lanjut berhubung isu lain membabitkan cukai.

Tambahnya, tindakan memanggil saksi untuk membantu siasatan bagi kes berkenaan hampir selesai.

Pada 25 Ogos lalu, SPRM menggempur sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi milik persatuan nelayan menerusi Op Liter dan dakwaan memberi rasuah kepada penguat kuasa di Sibu sebagai balasan menyembunyikan tindakan tersebut.

Dua beradik yang juga pengusaha stesen minyak, pembantu penguat kuasa dan pengarah sebuah agensi penguakuasaan di Kuching, Sarawak ditahan.

Azam dilapor berkata, menerusi siasatan dan risikan, sindiket yang dipercayai sudah beroperasi sejak 2012 itu mengaut keuntungan sehingga RM400 juta.

Katanya, sindiket berkenaan dipercayai menjual minyak diesel bersubsidi untuk kegunaan nelayan kepada pihak luar pada kadar harga tertentu.

Susulan itu, SPRM membekukan akaun milik pengusaha stesen minyak dan dua pegawai penguat kuasa berjumlah RM36 juta bagi siasatan kes tersebut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini