Oleh: Izzatie Rizan
KUALA LUMPUR: Modus operandi ‘phone scam’ kini dikesan semakin licik.
Terbaharu seorang mangsa sindiket penipuan diperalat menjadi orang suruhan untuk mengambil wang daripada mangsa penipuan lain.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, taktik itu terbongkar selepas pihak polis menerima satu laporan daripada seorang mangsa ‘phone scam’ 28 Oktober lalu yang mengalami kerugian RM138,000.
“Laporan polis dibuat seorang eksekutif sebuah syarikat swasta berusia 37 tahun selepas mendapati dirinya menjadi mangsa penipuan.
“Mangsa pada pertengahan Oktober lalu, menerima panggilan kononnya dari pihak ‘Shopee’ yang mendakwa kononnya nombor telefon mangsa digunakan dalam penjualan barangan terlarang.
“Panggilan kemudian disambungkan kepada beberapa individu yang menyamar sebagai polis bagi tujuan siasatan dan mangsa diarahkan memindahkan wang RM38,000 ke akaun bank yang diberikan.
“Mangsa turut diarah menyerahkan wang RM100,000 secara tunai kepada seorang individu yang datang berjumpa mangsa secara bersemuka,” katanya pada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman di Menara KPJ di sini, hari ini.
Beliau berkata melalui siasatan yang dijalankan, individu yang berjumpa mangsa secara bersemuka akhirnya berjaya dikenal pasti dan ditangkap.
“Apa yang mengejutkan kami, individu berkenaan seorang kakitangan bank wanita dan berusia 30 tahun yang sebenarnya juga adalah mangsa kepada sindiket penipuan ‘phone scam’ yang sama.
“Perkara itu terbongkar melalui soal siasat dan semakan yang dilakukan terhadap telefon bimbit miliknya.
“Wanita berkenaan mula menerima panggilan dari sindiket terbabit sejak Ogos lalu dan juga diarahkan melapor diri setiap tiga jam kepada pihak sindiket yang menyamar sebagai pihak berkuasa,” katanya.
Ujarnya, wanita terbabit juga diarahkan sindiket membuat pinjaman bank sebanyak RM89,000 dan dimasukkan ke akaun bank yang ditetapkan oleh sindiket.
“Berkenaan wang RM100,000 yang diambil dari mangsa, ia juga dilakukan atas arahan sindiket. Semua wang dipindahkan ke empat akaun bank yang berbeza. Selepas siasatan selesai, wanita terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.
Tegasnya, dapatan siasatan ini menjadi mesej kepada orang ramai untuk cakna dengan ancaman ‘phone scam’.
“Jika sebelum ini, ancaman phone scam hanya berkisar kepada kehilangan wang, kini mangsa boleh diperdaya untuk menjadi ‘ejen’ sindiket tanpa disedari,” ujarnya.