comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket perjudian antarabangsa atas talian berpusat di Kuantan tumpas

Dalam serbuan ini polis turut merampas 280 telefon bimbit, 14 komputer riba, sejumlah kad sim telefon mudah alih China dan 100 keping kad bank China.

Oleh: Fazli Ahmad

KUANTAN: Polis menumpaskan satu sindiket perjudian antarabangsa atas talian berpusat di bandar raya ini dengan mengaut keuntungan lebih RM1 juta ringgit setelah lebih sebulan beroperasi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kumpulan terbabit dikawal sindiket berpusat di Filipina dan mereka bertindak sebagai operetor mempromosi judi atas talian untuk warga China.

Menurutnya, semua ahli sindiket terbabit dicekup dalam serbuan di sebuah rumah di Kubang Buaya, Kuantan pada jam 5:15 petang 20 Oktober lalu.

Katanya, hasil serbuan itu lapan lelaki dan tiga wanita berusia antara 17 dan 43 tahun serta seorang wanita Indonesia yang bekerja sebagai amah di rumah terbabit ditahan.

“Hasil siasatan, rumah terbabit disewa sindiket terbabit dan dijadikan tempat kumpulan berkenaan mempromosikan perjudian atas talian menerusi Telegram dan WeCHAT sebagai medium perhubungan dengan pelanggan mereka di China.

“Sindiket ini menawarkan 50 jenis perjudian atas talian dan kegiatan mereka beroperasi antara jam 11 pagi hingga 11 malam setiap hari,”

“Kegiatan mereka dipercayai bermula sejak 37 hari lalu dan siasatan mendapati kumpulan ini sudah mengaut keuntungan RM1,110,000 dan anggaran kutipan harian hasil perjudian atas talian dilaporkan mencecah RM30,000 sehari.” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Menurut Yahaya, setiap ahli sendiket dibayar gaji antara RM2,000 dan RM6,000 sebulan oleh dalang yang berpangkalan di Filipina.

Katanya, dalam serbuan ini polis turut merampas 280 telefon bimbit, 14 komputer riba, sejumlah kad sim telefon mudah alih China dan 100 keping kad bank China.

“Dua ahli sindiket ditahan dalam serbuan itu juga adalah individu dikehendaki polis kerana terbabit dengan penipuan di Genting Highlands.” katanya

Semua ahli kumpulan terbabit direman hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana mempromosi perjudian atas talian.

Sabit kesalahan boleh dipenjara hingga tiga tahun dan denda RM50,000.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini