comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Sindiket penipuan kerja tumpas, 17 diberkas 

 

AYER KEROH: Sindiket penipuan tawaran kerja tidak wujud antarabangsa berpengkalan di negeri ini tumpas apabila 17 ahlinya dicekup polis dalam serbuan di sebuah banglo di sini, tengah malam tadi.

Serbuan jam 12.23 tengah malam itu dijalankan sepasukan empat pegawai dan 14 anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka dengan kerjasama JSJK Bukit Aman, hasil maklumat dan risikan ke atas sindiket itu disyaki aktif sejak September lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah berkata mereka yang ditahan itu merangkumi 14 warga tempatan termasuk 13 lelaki serta tiga warga China yang juga serpihan ahli sindiket penipuan dalam talian ditumpaskan Jabatan Imigresen di Langkawi Januari lalu.

“Ketika serbuan semua individu berusia antara 17 hingga 40 tahun itu sedang menjalankan aktiviti pusat panggilan di kediaman itu menggunakan komputer dan telefon bimbit.

“Seorang suspek berusia 35 tahun yang disyaki penyelia sindiket patah kaki apabila terjun dari tingkat atas banglo dua tingkat itu bagi mengelak ditahan ketika serbuan.

“Lima daripada mereka turut dikesan memiliki pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan penipuan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini, petang tadi.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Md Nazri Zawawi; Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christoper Patit dan Ketua JSJK Melaka, Superintendan E Sundra Rajan.

Zainol berkata menerusi serbuan itu, pihaknya turut menyita 18 set komputer meja, 60 telefon bimbit, dua kenderaan, kunci dan dua pasport antarabangsa dengan nilai rampasan dianggarkan lebih RM100,000.

Katanya, pemeriksaan ke atas komputer meja oleh pakar analisis media sosial mendapati terdapat skrip dan perbualan digunakan ahli sindiket untuk berbual dengan mangsa melalui aplikasi Telegram serta WhatsApp.

“Modus operandi sindiket ini menyasarkan rakyat Britain sebagai mangsa dan menggunakan nombor telefon pra bayar dari negara berkenaan untuk menghantar pesanan ringkas secara rambang ke semua nombor telefon rakyat di sana bagi menipu tawaran kerja sambilan tidak wujud.

“Mangsa diminta mendaftar melalui pautan yang diberikan sindiket dan mengarahkan mereka memberi penarafan yang baik untuk mendapat komisyen sebanyak AS$0.35 (RM1.64).

“Mangsa yang terpedaya memasukkan sejumlah wang bagi mendapatkan komisyen yang tinggi dan akhirnya mereka ditipu,” katanya.

Zainol berkata siasatan polis juga mendapati semua individu ditahan, dibayar gaji RM4,000 sebulan tidak termasuk komisyen 10 peratus daripada jumlah wang diterima daripada mangsa mereka.

“Semua suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 25 November ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana kesalahan menipu dan Seksyen 120B KK kerana kesalahan pakat jahat jenayah,” katanya.

Loading...
Terkini