comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket penipuan dalam talian kaut untung RM100,000 setiap bulan, tumpas

Foto NSTP

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket penipuan dalam talian yang di percayai mampu mengaut keuntungan sehingga RM100,000 setiap bulan, selepas menahan tiga lelaki dalam serbuan di dua buah kondominium mewah di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, polis menahan seorang lelaki di sebuah kondominium di Jalan Sultan Azlan Shah di sini pada 9 malam dan merampas tiga kad mesin juruwang automatik (ATM) pelbagai bank, bersamanya.

“Siasatan awal mendapati semua kad itu di percayai digunakan bagi kegiatan penipuan dalam talian dan susulan penahanan suspek, polis menyerbu sebuah lagi kondominium di Persiaran Gurney dan menahan dua lagi lelaki di situ. Kesemua mereka warga tempatan berusia 26 tahun.

“Hasil pemeriksaan di kondominium itu, polis merampas 24 buah telefon bimbit, kad ATM pelbagai bank (35 keping), kad prabayar pelbagai syarikat telekomunikasi (40 keping), komputer riba (dua unit), kad pengenalan disyaki palsu (lima keping), 10 unit ‘secure sign token’ dari dua buah bank dan slip transaksi deposit bank tempatan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Soffian berkata siasatan awal mendapati, sindiket itu diketuai seorang lelaki warga asing yang berpusat di sebuah negara di rantau ini dan dipercayai ahli sindiket tersebut, berkomunikasi secara dalam talian menerusi aplikasi Telegram.

Soffian berkata sindiket itu, dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan lepas dengan purata transaksi antara RM50,000 hingga RM100,000 sebulan, dan tiga suspek tersebut pula dibayar upah RM2,500 hingga RM6,000 sebulan, termasuk komisen 0.3 peratus bagi setiap transaksi yang dilakukan.

Beliau berkata tiga lelaki itu, berperanan terlibat dalam kegiatan pengumpulan kad-kad ATM milik pihak ketiga iaitu ‘keldai akaun’, bagi tujuan pemindahan wang hasil dari kegiatan penipuan dalam talian.

“Sindiket ini dipercayai mempunyai rangkaian yang luas termasuk di luar negara dan setiap kumpulan mereka mempunyai peranan masing-masing, macam tiga lelaki polis tahan ini, mereka hanya menjalankan tugas memindahkan transaksi wang dalam akaun keldai akaun itu ke akaun lain.

“Manakala kumpulan lain pula, berperanan menghubungi mangsa bagi menjalankan penipuan antaranya tawaran kerja, perkhidmatan seks dan pelaburan tidak wujud, sebelum mereka yang terpedaya memasukkan wang ke akaun diberikan iaitu milik keldai akaun, seterusnya tiga lelaki tersebut mengeluarkan duit (dari keldai akaun) dan memindahkan ke akaun sindiket itu,” katanya dan menambah operasi sindiket itu sangat licik.

Soffian berkata pihak polis juga sedang menjalankan siasatan, berhubung lima keping kad pengenalan palsu itu, sama ada ia digunakan untuk kes penipuan dalam talian atau jenayah lain, dan pihaknya turut sedang mengenal pasti pemilik kad ATM bank, yang dirampas dalam siri serbuan tersebut.

Beliau berkata ekoran penahanan tiga lelaki itu, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 16 kes penipuan dalam talian, membabitkan kerugian puluhan ribu ringgit di daerah Timur Laut dan pihaknya juga sedang giat mengesan dalang serta ahli lain sindiket tersebut.– BERNAMA

Loading...
Terkini