Tumpuan :
Jenayah

Sindiket pengiriman wang haram tumpas, RM3.6 juta dirampas

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu beberapa premis di Klang, Selangor dan Brickfields, Kuala Lumpur dalam satu operasi khas pada 6 Februari lalu, membongkar sindiket pengiriman wang haram yang beroperasi tanpa lesen sah.

Dalam operasi yang bermula jam 3.45 petang itu, 10 individu termasuk seorang lelaki warga India dipercayai dalang utama ditahan bersama beberapa lagi warga India dan Indonesia.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, siasatan awal mendapati sebahagian daripada mereka telah menyalahgunakan pas lawatan, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan atau tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Pemeriksaan lanjut ke atas premis-premis terbabit menemui wang tunai berjumlah RM3.6 juta, mata wang asing, serta barang kemas dipercayai hasil aktiviti haram.

“Hasil pemeriksaan terhadap semua premis tersebut, pasukan operasi telah merampas wang tunai berjumlah RM3,627,643.00, mata wang asing berjumlah Euro 1,400.00, Yuan 10,000.00 dan barangan perhiasan yang dipercayai emas yang disyaki hasil aktiviti pengiriman wang haram.

“Modus operandi sindiket adalah menawarkan perkhidmatan pengiriman wang tanpa lesen yang sah dan mensasarkan warganegara Indonesia dan India sebagai pelanggan.

“Sindiket ini menjalankan kegiatan mereka di sebalik kedai runcit dan kedai makan bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sindiket ini dikatakan menjana pendapatan harian antara RM15,000 hingga RM60,000 dan boleh mencecah sehingga RM110,000 ketika musim perayaan, dengan modus operandi menghantar wang ke luar negara melalui barangan kemas bagi mengelakkan sistem perbankan rasmi.

Kesemua suspek kini dalam tahanan di Depot Imigresen Semenyih, dengan siasatan lanjut dijalankan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta undang-undang berkaitan perniagaan wang dan pengubahan wang haram.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini