JOHOR BAHRU: Polis menumpaskan sindiket pengedaran jus dadah, dengan penahanan tiga individu termasuk seorang wanita warga asing Selasa lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, ketiga-tiga suspek berusia 32 hingga 51 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di premis kediaman sekitar Johor Bahru dan Seri Alam di Pasir Gudang.
Katanya polis turut merampas pelbagai jenis dadah dengan berat lebih 13 kilogram yang bernilai RM2.218 juta.
“Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan kedua-dua rumah sewa sebagai stor simpanan dan pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Hasil siasatan mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak Januari lalu dengan memproses semula pelbagai jenis dadah menjadi serbuk jus pelbagai perisa. Setiap satu paket jus dadah ini dijual lebih RM200.
“Jus dadah yang diproses itu kemudiannya dijual kepada pelanggan tetap untuk dijual di kelab-kelab malam bagi pasaran tempatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Menurunya sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Januari lalu.
Katanya pelbagai jenis dadah dirampas antaranya, 345 paket ekstasi berperisa serta tiga bekas serbuk ekstasi seberat 13,256 gram bernilai RM2.213 juta, 27 biji pil ekstasi (RM1,670), 1.20 gram ketamin (RM240) dan 24.70 gram syabu (RM2,717).
“Kita turut menyita sebuah kereta, sebuah motosikal, sebentuk cincin emas dan wang tunai berjumlah RM5,300.
“Hasil saringan urin mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala hasil semakan rekod mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Kami sedang giat mengesan dalang serta saki baki ahli sindiket tersebut yang dipercayai masih bebas.
“Ketiga-tiga suspek yang ditahan ini kini dalam tahanan reman selama tujuh hari sehingga Selasa lalu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.