![](https://media.buletintv3.my/2025/02/N3OZuo5p-BULETIN-TV3-AD.jpg)
Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis ketamin dan syabu bernilai RM11.43 juta dalam beberapa serbuan sekitar ibu negara, semalam.
Pengarah JSJN, Datuk Seri Khaw Kok Chin, berkata operasi antara jam 2.30 petang hingga 4.30 petang itu membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 31 tahun.
“Dalam serbuan tersebut, kita berjaya menangkap suspek di tempat letak kereta di sebuah kondominium di Batu Caves, Kuala Lumpur.
“Polis kemudian dipandu arah olehnya ke sebuah kenderaan di kondominium tersebut dan telah membuat pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut iaitu jenis Toyota Fortuner.
“Hasil pemeriksaan itu di tempat duduk belakang bahagian tengah kereta tersebut menjumpai lima buah beg yang berisi dengan bungkusan bungkusan teh Cina yang disyaki dadah jenis syabu sebanyak 50 bungkusan dengan anggaran berat 51.825 kilogram (kg),” katanya dalam satu sidang media di ibu negara, hari ini.
![](https://media.buletintv3.my/2025/02/RbplTCbm-BULETIN-TV3-AD-1.jpg)
Tambahnya, pihak polis juga berjaya menemui 32 bungkusan dadah jenis ketamin seberat 32.151kg di dalam bonet kenderaan terbabit.
Katanya, pihak polis kemudian dipandu arah oleh suspek menuju ke satu unit kondominium yang disewa untuk dijadikan tempat menyimpan dadah.
Pihak JSJN menemui enam buah guni dan dua beg berisi 36 bungkusan disyaki dadah jenis syabu dengan nilai anggaran seberat 36.991kg di ruang tamu kondominium berkenaan.
Pihaknya juga menjumpai sebanyak 139 pek ketamin di ruang tamu unit kondominium terbabit.
Jumlah keseluruhan anggaran berat dadah yang dirampas ialah 88.816kg untuk syabu manakala 171.755kg untuk rampasan jenis ketamin.
Selain rampasan dadah, polis turut menyita wang tunai RM1,100 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menggunakan kondominium mewah sebagai lokasi penyimpanan dadah dan dipercayai aktif sejak Disember tahun lalu untuk pasaran tempatan.
Suspek kini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, manakala siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika sabit kesalahan.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif ketamin, namun semakan rekod menunjukkan dia tidak mempunyai kesalahan lampau,” tambahnya.
JSJN akan meneruskan siasatan bagi mengesan saki-baki ahli sindiket untuk diheret ke muka pengadilan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.