comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket pembuatan wang palsu tumpas, 3 warga asing ditahan

FOTO: NSTP

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menumpaskan sindiket pembuatan wang palsu menerusi dua serbuan yang dilakukan di ibu negara 15 Ogos lalu.

Pengarahnya, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tiga lelaki warga Cameroon berusia 36 hingga 49 tahun yang dipercayai dalang utama sindiket berkenaan ditahan.

“Turut dirampas wang kertas not RM100 dipercayai palsu, 152 keping wang kertas not 100 dolar Amerika Syarikat (AS) dipercayai palsu, 9 bungkus blok not RM100 dipercayai palsu.

“Turut dirampas 7 telefon, satu kunci rumah bersama kad akses, dua beg galas, satu beg bimbit, tiga gulung plastik pembalut, satu botol gam, satu bilah pisau pemotong kertas, satu pembaris, satu pita pelekat, 4 pasport, sebuah kereta jenama Toyota Vios,” katanya dalam satu sidang media di pejabat JSJK di sini, hari ini.

Kesemua yang ditahan direman sehingga 28 Ogos dan kes disiasat di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut, siasatan mendapati seorang daripada tiga yang ditahan telah masuk ke negara ini sejak 28 Julai lalu menggunakan pas pelawat namun dua lagi tidak mempunyai rekod perjalanan yang sah.

Katanya, siasatan turut mendedahkan sindiket terbabit telah memulakan kegiatan penghasilan wang palsu sejak Julai lalu dan akan dijual kepada pembeli yang berminat.

Siasatan lanjut masih diteruskan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini