comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket Pelacuran Warga Asing Guna Pas Lawatan Sosial Tumpas

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket pelacuran dalam OPS GEGAR yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas di Puchong, Selangor.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata bertindak atas maklumat awam, sepasukan 21 pegawai imigresen telah menyerbu dua buah premis iaitu sebuah hotel dan sebuah unit kondominium yang disyaki menjalankan kegiatan pelacuran wanita warga asing Jumaat lalu.

Dalam operasi itu, seramai 27 orang telah ditahan, 25 daripadanya adalah wanita warga asing berumur antara 18 hingga 47 tahun.

Mereka terdiri daripada 20 orang wanita Indonesia, 3 wanita Thailand dan 2 wanita Vietnam.

Turut ditahan ialah 2 orang lelaki tempatan yang disyaki penjaga premis hotel tersebut.

Siasatan awal mendapati sindiket tersebut menggunakan wanita warga Indonesia yang berpenampilan seolah wanita tempatan sebagai daya penarik utama untuk memancing pelanggan.

Dalam serbuan ke atas unit kondominium, pasukan serbuan telah menahan seorang wanita warga asing yang disyaki sebagai ketua atau “Mummy” berumur 28 tahun yang menguruskan dan menjaga wanita wanita warga asing di kondominium tersebut.

Dalam operasi itu juga, sejumlah RM9,325 wang tunai yang dipercayai hasil kegiatan pelacuran dirampas.

Selain itu, beberapa kondom, pelincir dan buku rekod kehadiran bekerja serta senarai pelanggan turut dirampas.

Modus operandi sindiket adalah pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat seks akan berurusan melalui aplikasi Whatsapp dan pelanggan tersebut akan diberikan kata laluan untuk masuk ke hotel.

Bayaran yang dikenakan sebanyak RM240 bagi sekali langgan khidmat seks.

Kondominium tersebut juga dijadikan tempat transit wanita yang baru tiba dari Indonesia atau Thailand sebelum dihantar ke hotel untuk bekerja sebagai pelacur.

Sindiket dipercayai telah beroperasi hampir 2 tahun.

Semakan juga mendapati wanita – wanita asing itu masuk ke Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) yang sah dan menepati syarat-syarat sebagai pelancong.

Walau bagaimanapun mereka telah menyalahgunakan kemudahan PLS itu untuk melakukan kerja-kerja pelacuran dan tidak bermoral.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Loading...
Terkini