PUTRAJAYA: Satu sindiket pemalsuan pasport negara asing tumpas, selepas tiga warga Bangladesh, termasuk dalang utama ditahan Jabatan Imigresen dalam operasi khas di sekitar ibu negara, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, menerusi Ops Vista Mutiara itu, 121 pasport Bangladesh, Myanmar dan Indonesia yang disyaki palsu dirampas.
Menurut beliau, tangkapan pertama di sekitar Kepong membabitkan dua suspek berusia 26 dan 28 tahun dipercayai orang kanan sindiket.
Penahanan itu membawa kepada penangkapan seorang lagi lelaki dikenali Shimul, iaitu dalang utama sindiket menerusi serbuan di sebuah rumah di Jalan Kepong.
“Shimul ini memiliki PLKS pas lawatan kerja sementara juga yang masih hidup sehingga 2024 modus operandi sindiket ini mensasarkan warganegara daripada negara-negara sumber pekerja asing seperti Bangladesh, Myanmar, Indonesia, Pakistan, India, dan Nepal”, katanya dalam sidang media di Putrajaya siang tadi.
Selain pasport, dua komputer riba serta dua mesin pencetak turut dirampas.
Sindiket dipercayai sudah beroperasi selama setahun dan mengenakan bayaran RM500 hingga RM700 bagi setiap pasport palsu.
Mereka juga mampu mencetak antara 5 hingga 10 pasport sehari.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959 / 63, Akta Pasport 1966 dan peraturan-peraturan Imigresen 1963.