KUALA LUMPUR: Sindiket menjual pasport palsu dan pelbagai dokumen perjalanan tumpas dengan tertangkapnya seorang lelaki warga Nigeria yang juga dalang utama dalam satu operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar Kajang, Selangor 25 Oktober lalu.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Ruslin Jusoh berkata, hasil risikan selama dua minggu berjaya mengesan suspek berusia 46 tahun itu sekali gus membongkar kegiatannya menjual pasport kepada individu dari benua Afrika.
Menurutnya, pemeriksaan dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Imigresen Putrajaya di rumah suspek di Jalan Chan Sow Lin, di sini menemui 10 naskhah pasport Nigeria dipercayai palsu.
“Pasukan serbuan turut menemui sekeping pelekat Pas Pelajar palsu yang dikatakan diperoleh daripada seorang lelaki warga Ghana.
“Susulan itu pasukan operasi bertindak untuk mengesan dan menahan seorang lelaki warga Ghana berusia 56 tahun di Jalan Kasturi di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan serbuan kemudiannya memeriksa kediaman suspek kedua di sekitar Cheras, Selangor dan menemukan dua keping pelekat Pas Pelajar, i-Kad JIM (enam), kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) (satu) dan kad pelajar pelbagai universiti (tujuh).
Katanya, siasatan mendapati sindiket terbabit menyasarkan individu dari benua Afrika yang mempunyai masalah dokumen dengan menawarkan pasport palsu serendah RM1,000.
“Bagi pas dan dokumen lain akan dikenakan bayaran RM200 setiap keping antaranya pas pelajar dan kad pelajar.
“Sindiket akan mencari mereka yang bermasalah ini dan kemudiannya menawarkan perkhidmatan untuk menyediakan dokumen berkenaan,” katanya.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan di Depoh JIM Putrajaya bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.