PETALING JAYA: Seramai 51 pendatang asing tanpa izin, (PATI) dan 5 ahli sindiket penyeludupan manusia diberkas dalam serbuan Jabatan Imigresen di sebuah hotel bajet yang dijadikan rumah transit PATI, di Kota Bharu, Kelantan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata kesemua mereka ditahan menerusi Op Gelombang V, Rabu lalu yang dilakukan pasukan operasi dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya dan JIM Kelantan.
Dalam serbuan itu katanya, seramai 51 PATI terdiri daripada 39 lelaki dan empat perempuan warga India, dua lelaki Pakistan, dua perempuan dewasa dan empat kanak-kanak lelaki warga Thailand ditahan.
Kesemua mereka berumur antara 2 tahun hingga 60 tahun.
Turut dicekup, lima ahli sindiket warga tempatan iaitu pemilik hotel bajet terbabit, dua penjaga premis dan dua transporter yang kesemua mereka berumur antara 23 hingga 57 tahun.
Jelas beliau, modus operandi sindiket adalah dengan menyeludup PATI warga India yang memasuki negara ini melalui negara jiran dengan mengunakan laluan haram di sempadan.
Kesemua PATI itu kemudian akan diangkut mengunakan kenderaan oleh transporter tempatan dan akan dikumpulkan di rumah transit sebelum dihantar ke lokasi tertentu.
Siasatan awal mendapati sindiket mengenakan bayaran antara RM8,000 hingga RM10,000 bagi setiap PATI yang diseludup.
Turut dirampas, wang tunai lebih RM5,000, 42 pasport India dan empat kenderaan.
“Jabatan ini akan membanteras habis-habisan sindiket penyeludupan manusia dalam menguatkuasakan undang-undang demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
“Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, kesemua PATI ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah manakala lima lelaki tempatan direman enam hari untuk siasatan lanjut.