Tumpuan :
Jenayah

Sindiket guna talian hotline IPD PD untuk perdaya mangsa

PORT DICKSON: Talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, 017-6001411, dikesan disalah guna oleh sindiket penipuan untuk memperdaya mangsa berkaitan kesalahan trafik dan memeras wang.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, talian itu sepatutnya hanya digunakan untuk urusan rasmi dan bukan untuk menghubungi orang awam mengenai pelanggaran undang-undang.

Beliau menjelaskan sindiket itu menggunakan modus operandi dengan membuat panggilan palsu melalui talian berkenaan bagi memperdaya mangsa.

Pihak polis tidak menggunakan talian hotline berkenaan untuk meminta maklumat kewangan peribadi atau melibatkan sebarang transaksi kewangan.

Orang ramai diingatkan supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi atau kewangan kepada pemanggil yang tidak dikenali dan perlu berhati-hati terhadap panggilan yang menggunakan ugutan atau tekanan psikologi.

Sebarang maklumat yang diterima melalui panggilan telefon disarankan agar disahkan dengan pihak polis melalui talian rasmi.

Kes itu sedang disiasat dan pihak berkuasa akan terus mengambil tindakan tegas bagi membendung aktiviti penipuan berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini