comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket edar dadah hasilkan kek, biskut ganja tumpas

Raub (tengah) menunjukkan kek dan biskut disyaki ganja yang dihasilkan sindiket pengedaran dadah. Foto: NTSP

JOHOR BAHRU: Sindiket pengedaran dadah bukan setakat mengedar pelbagai jenis dadah, tetapi turut menghasilkan kek dan biskut daripada ganja.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, bagaimanapun tindakan sindiket yang didalangi pasangan kekasih tersebut tumpas dalam tiga serbuan berasingan di kondominum sekitar bandaraya ini pada kelmarin.

Katanya dalam serbuan pertama, lelaki tempatan berusia 33 tahun dan kekasihnya, wanita warga asing berusia 35 tahun ditahan di sebuah kondominum di Majidee dan merampas sejumlah dadah bersama sebatang pokok ganja berusia dua bulan.

“Susulan itu serbuan kedua di kondominum berlainan di kawasan sama juga, berjaya menahan seorang ahli sindiket, lelaki tempatan bersama menemui sejumlah dadah dan merampas sebuah kereta.

“Manakala serbuan ketiga di sebuah kondominum di Danga Bay berjaya menahan dua lagi ahli sindiket lelaki dan wanita, bersama sejumlah dadah, kek dan biskut daripada ganja.

“Kek dan biskut ganja ini dipercayai dihasilkan sebagai Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) untuk kegunaan sendiri ahli sindiket terlebih dahulu, sebelum dipasarkan. Sindiket ini juga turut menghasilkan minyak ganja bagi tujuan mengkhayalkan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di Larkin di sini, hari ini.

Menurut Raub, hasil tiga serbuan itu, pihaknya berjaya menahan satu sindiket pengedaran dadah di kondominum di Larkin dan menahan seorang lelaki tempatan bersama dadah mampat dan kereta Vellfire, semalam.

Katanya susulan itu, serbuan kelima dilancarkan dipercayai sindiket berlainan di sebuah kondominum di Majidee pada hari sama, namun hanya menemui sejumlah dadah tanpa tangkapan.

“Secara keseluruhan tiga sindiket ditumpaskan dalam lima serbuan berasingan dan berjaya merampas pelbagai jenis dadah berjumlah RM102,150.95. Kegiatan sindiket ini dipercayai telah aktif sejak bulan lalu.

“Kita masih siasat kaitan tiga sindiket pengedaran dadah ini, kerana modus operandi mereka sama iaitu menjadikan kondominum dan kenderaan sebagai tempat pembungkusan dan penyimpanan dadah sebelum diedarkan.

“Dalam lima serbuan ini, pihak polis merampas sebatang pokok ganja berukuran 140 sentimeter, lebih 25.9 kilogram ganja, biskut disyaki ganja (265 gram), empat ketul disyaki kek ganja, heroin (2,252 gram) 500 ml minyak ganja dan ketamin (0.50 gram).

“Polis turut menyita wang tunai pelbagai negara termasuk Thailand, India dan Amerika Syarikat dan sejumlah barang kemas,” katanya.

Jelas Raub, daripada enam suspek berusia lingkungan 26 hingga 35 tahun yang ditahan, lima daripada mereka termasuk wanita positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 14 Oktober depan untuk siasatan lanjut dibawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini