Tumpuan :
Jenayah

Sindiket edar dadah guna sampul surat bersama mata wang asing dibongkar polis

Sindiket itu menggunakan sampul surat yang disertakan mata wang asing untuk mengisi serbuk ekstasi sebelum diedarkan kepada pelanggan di kelab malam.

Oleh: Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Polis berjaya membongkar taktik satu sindiket pengedaran dadah yang menggunakan sampul surat mata wang asing untuk mengisi serbuk ekstasi sebelum diedarkan kepada pelanggan di kelab malam sekitar Johor.

Taktik itu bertujuan mengaburi pihak berkuasa, namun terbongkar selepas polis membuat tiga serbuan sekitar Taman Pelangi, di sini, sejak dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam serbuan itu, dua lelaki tempatan berumur 33 dan 40 tahun ditahan bersama sejumlah dadah.

“Seorang suspek yang berumur 33 tahun ditahan ketika sedang mengisi angin tayar kereta di sebuah stesen minyak, manakala seorang lagi di tepi jalan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin. Mereka juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya dalam sidang media di IPD Johor Bahru Selatan, pagi tadi.

Polis berjaya merampas 1,246.50 gram serbuk ekstasi bernilai RM208,161, selain 25.10 gram pil Erimin 5 bernilai RM1,800 dan 3.80 gram ketamin bernilai RM760.

Modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan mengisi dadah ekstasi ke dalam sampul surat mata wang dolar, yang kemudian dijual pada harga RM150 hingga RM200 untuk satu sampul.

“Dadah ekstasi itu juga dijual dalam bentuk jus minuman, manakala ketamin dijual dalam pakej plastik kecil pada harga RM760,” ujarnya lagi.

Menurutnya, pihak polis turut menyita wang tunai RM120 dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi. Jumlah nilai rampasan dadah dan sitaan bagi operasi itu dianggarkan sebanyak RM235,841.

ACP Raub berkata, hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan menjadikan rumah teres dan kereta sebagai tempat pembungkusan serta penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Kegiatan itu dipercayai beroperasi sejak Oktober lalu, dan bekalan dadah terbabit dipercayai diperoleh dari pasaran tempatan.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 28 Disember di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan juga sebatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini