comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Sindiket dadah seludup kokain RM10.3 juta dalam kontena bawang tumpas 

 

JOHOR BAHRU: Taktik sindiket dadah antarabangsa menyeludup 51 kilogram (kg) kokain bernilai RM10.3 juta dalam kontena berisi bawang digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, Rabu lalu.

Pengarahnya, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, kontena itu disita sepasukan pegawai JKDM cawangan narkotik di ruang punggah di Pemeriksaan Kastam, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah di sini, pada 2.45 petang hasil risikan.

Beliau berkata, barangan dalam kontena itu diikrar sebagai 2,900 bungkusan bawang segar.

Menurutnya, pemeriksaan menemui 50 bungkusan plastik mengandungi serbuk berwarna putih yang disembunyikan di ruangan kompresor penghawa dingin kontena.

“Pengesahan awal mendapati ia adalah kokain. Ia dipercayai dibawa masuk dari China dan disembunyikan di ruangan kompresor berkenaan.

“Anggaran dadah yang disita bernilai RM10.3 juta dan ia adalah rampasan terbesar JKDM setakat ini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Aminul Izmeer berkata, destinasi akhir kontena itu adalah di sebuah syarikat di Kuching, Sarawak.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39(1)(a) Akta Dadah Berbayar 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini