comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Sindiket curi RM24.2 juta: Tangkapan baharu babit seorang penjawat awam

 


Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Satu tangkapan baharu dilaporkan semalam membabitkan sindiket kes kehilangan wang daripada beberapa akaun simpanan sebuah bank berjumlah RM24.2 juta.

Suspek seorang wanita berusia 40an yang juga penjawat awam antara disyaki terjerat dengan salah seorang suspek yang juga tunangnya dalam sindiket berkenaan.

Perintah reman selama tiga hari bermula esok dikenakan terhadap suspek yang dikeluarkan oleh Majistret Stephanie Sherron Abbie selepas permohonan dibuat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Mahkamah Majistret, Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Sementara itu perintah reman ke atas 10 orang lagi suspek berhubung sindiket terbabit disambung tiga hari lagi bermula hari ini.

‘Orang dalam’ yang juga pegawai bank antara 10 suspek terlibat bersekongkol bagi urusan pengeluaran wang terbabit.

Perintah sambung reman ke atas semua suspek berusia antara 20an hingga 50an tahun itu dikeluarkan oleh Majistret sama, Stephanie Sherron Abbie, di Mahkamah Majistret, Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Kesemua suspek antara 14 individu yang telah ditahan dipercayai berkaitan kes kehilangan wang terbabit di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu melibatkan penipuan.

Perintah reman terbabit disambung sejak direman buat kali pertama pada 17 Jun lalu yang tamat tempoh reman hari ini, susulan permohonan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.

Kenderaan polis yang membawa kesemua suspek dikesan memasuki Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada jam 8.00 pagi dan dibawa keluar dari mahkamah pada jam 11.30 pagi.

Semalam Buletin TV3 melaporkan salah seorang suspek iaitu ahli perniagaan bergelar Datuk telah disambung reman tiga hari sejak direman buat kali partama pada 17 Jun lalu yang tamat tempoh reman semalam.

Susulan satu reman baharu dikeluarkan membabitkan seorang penjawat awam menjadikan keseluruhan 12 suspek masih direman terdiri daripada lapan lelaki dan empat wanita.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf memaklumkan dua individu yang ditahan sebelum ini masing-masing sudah dibebaskan dengan jaminan polis dan tamat reman kelmarin.

Terdahulu, media melaporkan kakitangan sebuah bank ditahan selepas disyaki bertindak sebagai ‘orang dalam’ bagi mengeluarkan wang tunai bernilai RM24.2 juta daripada beberapa akaun simpanan.

Ramli dilaporkan berkata, pihaknya menerima empat laporan pada awal Jun memaklumkan berlaku pengeluaran yang mencurigakan.

Menurutnya, laporan dibuat mangsa dan kakitangan bank terbabit di Petaling Jaya, Selangor mendakwa berlaku pengeluaran secara tunai di Kota Kinabalu, Sabah membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 

Loading...
Terkini