Tumpuan :
Jenayah

Sindiket curi motosikal tumpas, 3 warga tempatan ditahan

JOHOR BAHRU: Sindiket curi motosikal yang tular di media sosial awal bulan ini berjaya ditumpaskan, dengan penahanan tiga lelaki warga tempatan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kesemua suspek berusia lingkungan umur 21 hingga 37 tahun ditahan dalam serbuan empat lokasi berasingan di bandaraya ini dan Muar.

Katanya ia susulan laporan polis dari seorang lelaki warganegara Singapura yang motosikalnya, Yamaha RXZ yang diletakkan di tempat letak motosikal sebuah hotel di hilang, baru-baru ini.

“Sepasukan polis dari cawangan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD JBS membuat serbuan berasingan pada jam 12 hingga 1.32 pagi.

“Menerusi Operasi Khas Op Lejang ini juga pihak polis merampas tiga buah motosikal yang disyaki dicuri serta kad pengenalan suspek yang digunakan sebagai akses parkir.

“Semakan rekod jenayah terhadap ketiga-tiga suspek mendapati, suspek pertama mempunyai 11 rekod jenayah lampau kes jenayah dan suspek ketiga mempunyai tiga rekod lampau jenayah,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Raub, hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek pertama positif dadah jenis methamphetamine.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku terlibat dalam kejadian curi motosikal kerana mahu mendapatkan wang bagi kegunaan perbelanjaan harian.

“Hasil tangkapan sindiket ini, pihak polis berjaya menyelesaikan dua kes curi motosikalyang dilaporkan.

“Kesemua suspek direman empat hari sehingga Isnin depan bagi siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini