Tumpuan :
Jenayah

Sindiket curi kereta, Geng Siva tumpas

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Sindiket curi kereta dikenali Geng Siva tumpas, selepas polis berjaya menahan lima lelaki warga tempatan antara 6 Oktober hingga 7 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, suspek berusia antara 20-an hingga 50-an itu ditahan di kawasan Skudai dan Masai selepas pihaknya menerima laporan sebuah kereta hilang pada 23 Ogos lalu di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini.

“Kita mendapati sindiket ini beroperasi dengan terancang yang mana dua suspek berperanan untuk mencuri dan yang lain meleraikan komponen sebelum dilupuskan sebagai barangan lusuh,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, semakan lanjut mendapati empat daripada lima suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau bagi kesalahan dadah dan jenayah serta hasil saringan air kencing mendapati seorang suspek positif dadah.

“Semua tangkapan kini direman dua hingga tujuh hari bagi membantu polis melengkapkan siasatan.

“Kita juga sudah mengambil keterangan pemilik premis barangan lusuh dan pekerja yang dipercayai terbabit dalam kes ini,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki harta curi dan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam tubuh badan dengan sengaja.

Pada masa sama, Balveer Singh menasihatkan masyarakat supaya sentiasa memastikan kenderaan diletakkan di kawasan yang diwartakan dan terkawal.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini