Tumpuan :
Jenayah

Sindiket buru hidupan liar lumpuh, bangkai Harimau Malaya dirampas

 

Oleh Ing Boon Seng

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Wildlife Crime Bureau / Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) melumpuhkan satu rangkaian sindiket pemburuan haram hidupan liar hasil operasi di Gua Musang, Kelantan.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata empat lelaki ditahan bersama 2 bahagian bangkai seekor Harimau Malaya serta senjata api dan peluru.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, JKDNKA telah melancarkan beberapa siri Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dalam usaha membendung aktiviti pemburuan dan pencerobohan haram yang menyasarkan hIdupan liar bagi memperoleh keuntungan.

Berdasarkan risikan dan maklumat,  satu serbuan dilakukan di Gua Musang, Kelantan pada 23 Februari lalu.

Hasil serbuan, tiga lelaki tempatan berusia 34 hingga 42 tahun ditahan.

Turut dirampas, dua bahagian bangkai seekor Harimau Malaya tanpa kepala dan kulit serta tiga buah telefon bimbit.

Jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM303,000.

Siasatan dijalankan oleh Jabatan Perhilitan di bawah Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Kesemua suspek telah didakwa di mahkamah pada 2 Mac lalu dengan dua daripada mereka mengaku bersalah.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM50,000 serta tambahan 12 bulan penjara jika gagal membayar denda.

Kedua-dua tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Manakala seorang lagi tertuduh mengaku tidak bersalah dan dikenakan ikat jamin RM30,000.

Susulan tangkapan berkenaan, satu lagi serbuan dilakukan pada 27 Februari lalu.

Seorang lelaki tempatan berusia 65 tahun yang juga pemilik senapang berlesen yang digunakan tiga suspek berkenaan bagi tujuan memburu secara haram.

Turut dirampas, selaras senapang, beg senapang, 28 butir peluru, satu alat pembuka Barrel, alat Barrel Extender dan buku lesen memiliki senjata serta peluru.

Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM12,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6  Akta Bahan-bahan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 8(b) Akta Senjata 1960.

PDRM melalui WCB/PSK, JKDNKA sentiasa komited dalam usaha untuk memerangi jenayah-jenayah yang berkaitan dengan hidupan liar khususnya pemburu-pemburu haram serta mereka yang menjalankan perdagangan melibatkan spesis-spesis yang dilindungi dan terancam.

Loading...
Terkini