comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket bawa masuk warga asing: 2 penguat kuasa termasuk dalang utama direman

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan reman dua pegawai penguat kuasa termasuk dalang utama yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menggunakan modus operandi laluan kaunter khas (counter setting).

Majistret Fairuz Syuhada Amran membenarkan suspek utama direman selama lima hari sehingga Isnin depan manakala suspek kedua direman selama tujuh hari sehingga Rabu depan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sivil Seremban, pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40-an dipercayai bersekongkol dengan ejen sindiket membawa masuk warga asing yang tiba menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 (KLIA1) dan Terminal 2 (KLIA2).

“Kedua-dua suspek telah ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan pada jam 3 pagi dan jam 5.40 petang semalam ketika hadir bagi dirakamkan keterangan.

“Mereka dipercayai menerima wang rasuah daripada ejen sindiket selain bertindak mengatur urusan laluan kaunter khas bagi melepaskan warga asing tanpa mengikut pemeriksaan sepatutnya di pintu masuk udara negara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Tuan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini