Oleh: Siti Khadijah Jaafar
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia, PDRM menumpaskan satu sindiket antarabangsa yang terlibat dengan penjualan template penipuan serta pancingan data kewangan atau ‘phishing’ Isnin lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, serbuan di empat negeri iaitu Sabah, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur itu memberkas lapan individu terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang wanita Thailand berusia lingkungan 29 hingga 56 tahun.
Empat daripada suspek turut memiliki beberapa rekod lampau bersabit kes dadah, tipu serta judi.
“Sindiket ada software developer, web hosting dia buat template yang serupai saya bagi contoh mana-mana government atau education punya web kemudian bila dia dah buat dia nak jual dia kena satu dia panggil web hosting untuk diangkat template tersebut.
Sindiket ini dia lakukan aktiviti ini melalui sebuah laman web www.bulletproft.link.com seolah-olah dia ini mengiklankan apa yang dia boleh buat”,katanya dalam sidang media di Bukit Aman sebentar tadi.
“Siasatan mendapati salah seorang lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai dalang atau ketua sindiket terbabit yang memainkan peranan sebagai pembangun perisian yang akan dijual di dalam serta luar negara iaitu Australia serta Amerika Syarikat.Pembongkaran ini telah membawa rampasan peralatan komputer dan server selain sitaan barang kemas, kenderaan dan e-wallet bernilai hampir RM1 juta”.
Tegas beliau, serbuan dengan kerjasama Polis Persekutuan Australia dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) ini mendapati sindiket bukan hanya terlibat dengan penipuan, namun turut menjual template kepada pihak yang mahu melakukan penipuan di dalam dan luar negara.
17 kertas siasatan juga dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.
“Siasatan lanjut yang dijalankan mendapati terdapat 1,038 nama pengguna (username) dan kata laluan (password) individu tempatan telah diakses sindiket secara tidak sah”.
“Sindiket difahamkan mula beroperasi sejak 2015 dengan menghasilkan template seolah web tertentu dan akan keluar ‘pop-up’ yang akan diklik hingga membolehkan data, kata laluan dan nama pengguna diakses”, katanya.
Polis menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman masih menyiasat nilai dan harga bagi jualan template terbabit, pembeli dan lain-lain aspek.