KUCHING : Rangkaian sindiket along kini dikesan menggunakan media sosial untuk mengupah individu membakar dan membaling cat ke rumah peminjam mereka.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri mendedahkan individu yang menerima tawaran melakukan kerja itu dibayar upah sebanyak RM1,500.
Beliau berkata, maklumat itu hasil siasatan ke atas tujuh suspek warga tempatan yang ditahan pihaknya susulan beberapa kejadian rumah mangsa dibakar dan dibaling cat.
Jelasnya, laporan diterima pada 7 Julai lalu, di mana mangsa memaklumkan rumah miliknya di Kota Samarahan dibakar selain menerima kiriman video insiden berkenaan melalui aplikasi WhatApps.
“Selain itu, terdapat tiga lagi kejadian simbah cat di kedai perabot dan rumah mangsa. Susulan itu, sebanyak empat kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Azman berkata tujuh suspek yangditahan kini direman tujuh hari bermula 17 Julai lalu.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta untuk menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Mustapha Ramli di talian 019-8145090.