JOHOR BAHRU: Seorang kontraktor berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah lebih RM600,000 lebur akibat terpedaya dengan skim pelaburan saham yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan dibuat lelaki tempatan berusia 50 tahun itu semalam, yang mendakwa menjadi mangsa penipuan sindiket bernama DFA itu.
Beliau berkata, mangsa mendakwa melihat hantaran mengenai pelaburan saham berkenaan di laman sosial Facebook pada 26 Julai lalu dan berminat untuk mencubanya.
“Mangsa kemudian dimasukkan ke dalam satu kumpulan Whatsapp dan diberi penerangan serta turut berhubung melalui panggilan video dengan suspek yang mengajar cara-cara untuk melabur.
“Mangsa dijanjikan keuntungan 410 peratus untuk lima fasa pelaburan yang akan berjalan selama tiga bulan yang mana kadar keuntungan bagi setiap fasa adalah antara 50 peratus hingga 150 peratus.
“Mangsa ada diberikan surat perjanjian melalui Whatsapp dan diminta untuk memuat naik aplikasi pelaburan bernama ATS-P bagi urusan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, oleh kerana percaya dengan skim pelaburan yang ditawarkan, pada 31 Julai hingga 8 September lalu, mangsa melakukan 17 kali transaksi pembayaran ke tiga akaun bank berbeza keseluruhannya berjumlah RM688,000.
Katanya, pengadu berada pada fasa keempat pelan pelaburan dan sudah dua kali mendapat pulangan wang berjumlah RM64,000 pada Ogos lalu.
“Pada awal September ini, mangsa hendak mengeluarkan wang dari aplikasi ATS-P, tetapi tidak berjaya dan diminta untuk membuat pembayaran lagi bagi meneruskan pelan pelaburan.
“Mangsa enggan kerana memerlukan penambahan wang pelaburan yang banyak, menyebabkan akaunnya dibekukan dan mangsa tidak lagi dapat mengakses akaun berkenaan dan mula rasa curiga.
“Mangsa kemudian membuat semakan di ibu pejabat syarikat berkenaan dan dimaklumkan bahawa syarikat itu tidak pernah terbabit dalam pelaburan terbabit,” katanya.
Mohd Sohaimi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.
Beliau berkata, siasatan juga akan meliputi pembabitan ‘keldai akaun’ sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terbabit.
“Kami ingin menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pelaburan secara dalam talian yang menjanjikan pulangan yang tinggi dalam masa yang singkat walaupun menggunakan nama syarikat yang disahkan wujud,” tegasnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa