KUALA PILAH: Tiga lelaki yang menyimpan pelbagai jenis senjata api, peluru, bom dan peralatan membuat senjata ditahan polis dalam serbuan di tiga lokasi berasingan di sini, pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Gani, berkata hasil maklumat berkaitan dadah, serbuan pertama dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Pilah di sebuah rumah di Kampung Gemencheh Ulu pada jam 6.30 pagi Isnin lalu dan menahan seorang lelaki berusia 30-an.
Pada hari sama, dua lagi lelaki berusia 40-an katanya, diberkas dalam serbuan di dua lokasi berbeza oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Pilah kira-kira jam 7.30 petang.
Amran berkata, pihaknya menemui dua laras senapang angin, satu laras senapang patah buatan sendiri, satu pucuk pistol angin, 116 butir peluru hidup jenis penabur, dua peluru hidup saiz 0.38 special, sepasang gari, sebutir bom asap, sebutir bom ikan buatan sendiri dan pelbagai peralatan membuat senjata.
“Pemeriksaan ke atas semua suspek menemui pelbagai senjata api, peralatan membuat senapang angin dan peluru hidup yang disimpan dengan menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
Semua suspek direman empat hari hingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tujuh tahun, atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.