comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Simpan dadah dalam kereta, wanita antara 6 ditahan 

GEORGE TOWN: Seorang wanita antara enam ditahan menerusi tiga serbuan berasingan yang dijalankan di sekitar George Town, Selasa lalu, kerana disyaki terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah.

Sindiket terbabit turut menjadikan kereta sebagai tempat penyimpanan dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah pangsapuri di Taman Seri Damai, Jelutong yang membawa kepada penahanan seramai empat individu termasuk seorang wanita.

Katanya, pemeriksaan yang dijalankan di dalam kediaman itu menemukan sebanyak dua paket dadah jenis heroin, satu paket syabu serta empat pil Erimin 5.

“Berpandukan maklumat daripada seorang suspek, polis kemudian melakukan serbuan di parkir kereta di kawasan sama sebelum menahan dua lagi lelaki.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kereta jenis Honda Civic di kawasan parkir itu pula menemukan sebanyak dua lagi paket heroin seberat 228 gram.

“Susulan itu, pemeriksaan kemudian dilakukan ke atas sebuah kereta Perodua Kancil di tepi jalan Persiaran Bukit Gambir 1, Gelugor yang membawa kepada penemuan sembilan paket heroin seberat 4.1 kilogram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Saravanan berkata, hasil siasatan mendapati semua suspek berusia 21 hingga 42 itu menjadikan kereta berkenaan sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan kepada penagih.

“Semakan juga mendapati mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah dan mereka direman tujuh hari sehingga 21 November ini,” katanya lagi.

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah kereta jenis Mercedes Benz, tiga buah motosikal, pelbagai jenis barang kemas serta wang tunai RM6,050.

“Keseluruhan jumlah rampasan dadah dan sitaan bernilai RM135,021 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Loading...
Terkini