Tumpuan :
Jenayah

Simbah cat merah, dua lelaki tali barut ‘ah long’ ditahan

FOTO: Ihsan PDRM Tawau

Oleh: Safwan Sawi

TAWAU: Dua lelaki ditahan dipercayai tali barut ‘ah long’ selepas melakukan ugutan dan menyimbah cat merah ke rumah mangsa di Batu 6, Jalan Apas, di sini, 24 Ogos lalu.

Kedua-dua suspek warga tempatan berusia 29 dan 31 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Felda Umas, Kalabakan, kira-kira jam 10 malam, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kedua-dua suspek diberkas susulan laporan oleh seorang lelaki berusia 27 tahun mengatakan pintu dan dinding rumahnya disimbah cat merah oleh individu yang tidak dikenali.

FOTO: Ihsan PDRM Tawau

Individu terbabit ujarnya turut meninggalkan satu pesanan pada sehelai kertas serta menulis nombor telefon, nama dan nombor kad pengenalan mangsa untuk menyelesaikan hutang.

“Suspek juga meninggalkan pesanan suara dengan ugutan untuk membakar kereta mangsa dan keluarganya serta mengugut bahawa mengetahui keberadaan mangsa.

“Susulan daripada itu, sepasukan polis dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama anggota Balai Polis Bombalai mengesan dan menahan kedua-dua suspek terbabit,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Jasmin berkata, hasil siasatan awal kedua-dua suspek mengaku terbabit dengan kes yang disiasat.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan suspek, pasukan serbuan menemui satu bekas botol kosong terdapat kesan cat merah, sehelai kertas notis amaran ‘bayar hutang’ serta pen merah yang disimpan di dalam but belakang kereta suspek.

“Siasatan mendapati kejadian disyaki dilakukan oleh pemberi pinjaman wang atas talian ah long yang mahu menuntut hutang daripada mangsa dengan mengupah suspek untuk melakukan jenayah itu,” katanya.

Ujarnya, hasil semakan rekod jenayah mendapati, salah seorang suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkait dadah yang berlaku di Kinabatangan.

Kedua-dua suspek direman sehingga 30 Ogos dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini