comscore
Tumpuan :
Jenayah

Siasatan kes lelaki menyamar polis larikan motosikal di lebuh raya selesai

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi ketika sidang media di IPD Petaling Jaya. – Foto NSTP

PETALING JAYA: Polis menahan sekumpulan 10 lelaki yang disyaki terbabit kegiatan samun dan melarikan motosikal menyasarkan penunggang motosikal di lebuh raya dan laluan sunyi dengan menyamar sebagai anggota polis, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi, berkata semua suspek warga tempatan berusia 25 hingga 39 tahun ditahan sekitar Petaling Jaya kira-kira jam 5 pagi, 20 Oktober lalu.

Katanya, tangkapan susulan laporan diterima daripada dua lelaki tempatan berusia 18 dan 21 tahun mendakwa disamun empat anggota polis berhampiran Restoran Jejantas Sungai Buloh pada Julai lalu.

“Modus operandi kumpulan ini ialah aktif pada waktu malam dan awal pagi dengan menyamar sebagai anggota polis dan menunggang motosikal di lebuh raya atau jalan besar sebelum menahan penunggang motosikal kononnya untuk membuat pemeriksaan.

“Mereka kemudian akan membawa lari barangan peribadi dan motosikal mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Sharulnizam Jaafar; Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof

Sasikala Devi berkata, semakan mendapati tujuh daripada 10 lelaki yang ditahan mempunyai 26 rekod jenayah lampau dan 10 rekod jenayah membabitkan kes dadah serta dua didapati positif dadah.

Beliau berkata, antara suspek yang ditahan itu bekerja sebagai penunda kenderaan, penghantar barang dan juruteknik.

Katanya, menerusi tangkapan itu, polis turut merampas tujuh motosikal disyaki dicuri.

“Dengan penahanan kesemua suspek, kita berjaya menyelesaikan 10 kes samun sekitar Selangor.

“Kesemua suspek diserahkan ke IPD Sungai Buloh untuk siasatan di daerah itu serta kes disiasat mengikut Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan selepas reman untuk siasatan oleh IPD Shah Alam ke atas mereka, tamat semalam,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan empat lelaki termasuk seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 19 hingga 43 tahun ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes curi motosikal sekitar Jeram, Selangor.

Sasikala Devi berkata, tiga suspek yang ditahan adalah anggota Geng Bulat dan seorang lagi suspek warga asing adalah pembeli motosikal curi, kesemuanya ditahan menerusi Op Lejang motosikal yang bermula 21 hingga 25 Oktober lalu.

Polis turut merampas 14 buah motosikal dengan dua daripadanya sudah dileraikan.

“Geng Bulat dikesan aktif sejak awal tahun ini dan modus operandi kumpulan ini dengan memantau terlebih motorsikal yang disasarkan sama ada yang diparkir di kawasan kaki lima atau apartmen, sehari sebelum melarikan kenderaan itu.

“Kumpulan ini menyasarkan motosikal jenis Honda EX5, Yamaha Ego, Yamaha LC, Yamaha Y15ZR dan beberapa jenama lain” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati lelaki warga asing yang ditahan dipercayai membeli motosikal jenis Honda EX5 dengan harga RM150 daripada suspek.

“Semakan mendapati tiga suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan kesemua mereka direman sehingga 12 November ini.

“Dengan tertangkapnya Geng Bulat, pihak polis berjaya menyelesaikan 13 kes curi motosikal yang dilaporkan berlaku dalam kontinjen Selangor dengan jumlah kerugian dianggarkan RM32,000 mengikut harga semasa,” katanya.

Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini