comscore
Tumpuan :
Jenayah

Siasatan dakwaan gangguan seksual Agus sudah selesai – Polis

Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff (kiri) dan Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.

KUALA LUMPUR: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkait dakwaan melakukan gangguan seksual sudah selesai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zin ketika mengesahkan perkembangan terbaharu itu berkata kertas siasatan berkait kes itu sudah lengkap dan dihantar ke Pejabat Peguam Negara pada 18 Disember lalu.

“Kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara pada 18 Disember 2023. Buat masa ini, kertas siasatan itu masih di dalam kajian dan semakan Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Pada 14 Disember lalu, Mohammad Agus dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung dakwaan gangguan seksual olehnya terhadap kakitangan J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini mengesahkan polis melakukan siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan bekas Ketua Pengarah J-KOM itu yang didakwa berlaku di sebuah hotel di Bintulu pada 21 Oktober lalu.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D akta sama atas kesalahan melanggar kesopanan.

Siasatan dijalankan selepas Abdul Wahab tampil membuat laporan di Balai Polis Kajang bersama peguamnya, Faizal Abd Rahman pada 30 November lalu.

Sebelum ini, polis menjalankan siasatan berhubung rakaman video tular mengenai perbualan lucah didakwa membabitkan Mohammad Agus dan Abdul Wahab.

Susulan itu, Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM dan mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya itu adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini